Pengasas Naza – Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin

Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin merupakan Pengarah Urusan Naza Group yang ditubuhkan pada 1979. Beliau antara salah seorang ahli perniagaan dan usahawan Melayu yang berjaya di Malaysia. Antara 14 jenis perniagaan yang dijalankan oleh Naza Group ialah permotoran, pengedaran rokok, insurans, hotel, kejuruteraan, alat ganti mesin, perladangan dan hartanah. Pada masa kini, Naza Group memegang hak francais di Malaysia untuk jenama Kia dan Peugeot, serta memiliki permit import untuk Mercedes Benz and Mazda.

Kisah kejayaan beliau dijadikan contoh oleh usahawan Malaysia untuk terus berjaya.

Biografi Dan Latar Belakang

naza-group-of-companies-logo

Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin dilahirkan pada Januari 1955 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Tunku Munawir dari tahun 1961 hingga 1966. Kemudian meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Tuanku Muhammad pada 1967 hingga 1972. Kedua-dua sekolah ini terletak di Kuala Pilah.

Pada 1 Mei 2008, berita kematian beliau mengejutkan ramai pihak di Malaysia. Tan Sri SM Nasimuddin meninggal dunia di hospital swasta di Long Beach, California akibat barah paru-paru peringkat 4. Ketika itu, usianya 53 tahun. Jenazah diterbangkan dan selamat disemadikan bersebelahan kubur ibu beliau, Salbiah Abdul Majid, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Batu 9, Hulu Langat pada 4.30 petang, 4 Mei.

Beliau meninggalkan isteri pertama, Puan Sri Zaleha Ismail dan 5 orang anak iaitu Datuk Faisal, Nur Diana, Sheikh Mohd Nasarudin, Sheikh Mohd Faliq dan Nur Nadia; serta isteri kedua iaitu Rokiah Abdullah dan 5 orang anak, Sharifah Roslina, Mohd Azli, Sharifah Rosnani, Sheikh Mohamad Azrul dan Sharifah Sofia.

Kisah Perniagaan

Ketika berusia 19 tahun pada 1974, beliau memiliki RM80,000 dalam akaun simpanan hasil pendapatan ketika menjadi pembantu bapanya yang bekerja sebagai kontraktor. Minatnya amat mendalam terhadap bidang automotif dan bukan bidang pembinaan seperti yang diceburi bapanya.

Perniagaan automotif bermula dengan Permit Import (AP) iaitu permit untuk mengimport kereta buatan luar Malaysia. Setelah memulakan perniagaan, beliau terbang ke Jepun dan membeli 20 unit kereta terpakai jenama Jepun selama 3 bulan. Sekembalinya ke Malaysia, kesemua unit tersebut berjaya dijual dalam tempoh 3 bulan.

Kedai miliknya terletak di Taman Maluri dapat menjual 10 hingga 15 unit kereta setiap bulan. Pada 1979, cawangan baru di Kampung Baru berjaya menjual 40 hingga 60 unit sebulan. Cabaran yang ditempuhi beliau ialah masalah kewangan dan bagaimana untuk meyakinkan penduduk Malaysia supaya beli kereta import. Ini kerana, pada ketika itu, penduduk belum didedahkan dengan kereta jenama luar Malaysia.

Dengan hidup secara sederhana dan berjimat setiap sen yang diterima, beliau meraih pendapatan RM1 Juta dalam masa setahun.

Pada penghujung 90-an, Kia Motors Corporation melantik Naza Kia Malaysia Sdn Bhd sebagai pemegang tunggal jenama Korea Selatan tersebut di Malaysia. Pada 2002, Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd (NAM) ditubuhkan. Dalam tahun ini juga, Naza Group menjadi pengimport dan pengedar jenama Peugeot dan juga memulakan perniagaan hotel di Malaysia.

Antara syarikat milik Naza Group ialah Naza Kia Sdn Bhd, Naza Automotif Manufacturing Sdn Bhd, Nasim Sdn Bhd, Naza Motor Trading Sdn Bhd, Naza TTDI Sdn Bhd dan NZ Wheels Sdn Bhd. Dewan pameran automotif Naza Auto Mall yang terletak di Petaling Jaya dibuka pada Ogos 2005. Tan Sri SM Nasimuddin merupakan pengasas kelab bola sepak Kuala Muda Naza FC yang bertapak di Kuala Muda, Kedah. Beliau memperkenalkan Bubba Gump Shrimp Co. Restaurant and Market di Malaysia pada April 2008. Ini merupakan perniagaan restoran, jenama dari California.

Anugerah Dan Pengiktirafan

Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin dikurniakan Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu gelaran Tan Sri. Beliau juga dianugerahkan Pingat Khidmat Industri oleh duta Korea Selatan di Malaysia, menjadikannya rakyat Malaysia pertama meraih pingat tersebut.

*Kami tidak siarkan gambar kerana menghormati Allahyarham. Harap maklum.

**Untuk info tentang Keluarga Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin, Klik Sini.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.