Maksud Cina Buta Dan Nikah Muhallil

Dalam artikel ini, kami ingin kongsi asal usul sejarah dan apa itu Cina Buta serta Nikah Muhallil. Secara ringkas, makna Cina Buta ialah istilah orang Melayu bagi perkahwinan bersyarat diantara seorang lelaki dengan seorang wanita, sebelum wanita tersebut diceraikan dengan tujuan membolehkan dia berkahwin semula dengan bekas suami setelah mereka bercerai talak 3.

cina-buta

Perbuatan ini dilaksanakan dengan syarat tertentu, dalam tempoh tertentu dan ganjaran tertentu.

Bekas suami berpakat dengan lelaki lain, agar lelaki tersebut berkahwin dengan bekas isterinya dan selepas itu menceraikannya. Agar bekas suami itu dapat kembali semula berkahwin dengan bekas isterinya.

Istilah Syarak bagi perkahwinan ini ialah Nikah Muhallil.

Asal Usul Cina Buta

Sejarah amalan orang Melayu Islam dulu-dulu, apabila terjadi kes perceraian talak tiga, bekas suami akan mengambil jalan mudah dan menipu iaitu dengan menggunakan muallaf (orang Cina yang baru masuk Islam) untuk berkahwin dengan bekas isteri. Buta tu mungkin sebab dia ditipu buta-buta berkenaan hukum-hakam perkahwinan dalam Islam oleh bekas suami.

Talak Tiga

Antara punca berlakunya situasi Cina Buta seperti menyesal lepas lafaz talak tiga dan menyebabkan si lelaki jadi tak keruan. Nak rujuk balik tak boleh, nak tak nak terpaksa la cari khidmat pernikahan cina buta kerana amat diperlukan. Ni la orang panggil gila talak, yakni bekas suami mahu ambil balik talak 3 yang pernah dilafazkan dulu.

Talak tiga berlaku dalam dua keadaan iaitu:
1. Suami menceraikan isteri pada kali yang ketiga
2. Suami melafazkan cerai dengan talak tiga

Jika dah jatuh talak tiga, kemudian jika suami itu mahu kembali semula kepada isterinya, maka Islam meletakkan tiga syarat:

1. Bekas isteri mestilah berkahwin dengan lelaki lain dengan akad nikah yang sempurna selepas selesai tempoh iddahnya
2. Bekas isteri sudah disetubuhi oleh suami baru
3. Bekas isteri itu diceraikan oleh suami baru, sama ada suaminya itu meninggal dunia atau suaminya itu menceraikan wanita tersebut

Maknanya tiada cara untuk sebuah pasangan yang telah bercerai dengan talak tiga untuk kembali bersatu semula selain daripada diceraikan oleh suami baru dan telah melakukan persetubuhan.

Apabila cukup tiga syarat tersebut dan sudah habis tempoh waktu iddah wanita itu, maka barulah suami pertama (yang menceraikan wanita itu dengan talak tiga) boleh bernikah semula dengan bekas isterinya itu. Dengan syarat wanita itu bersetuju untuk bernikah semula dengan bekas suami pertama.

Melalui Surah al-Baqarah ayat 230 yang bermaksud: Sesudah (diceraikan dua kali) itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga perempuan itu berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau dia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis iddahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.

gila-talak

Hukum Fatwa Nikah Muhallil

Menurut pakar perundangan Islam, Cina Buta dalam Islam terbahagi kepada 3 keadaan:

1. Kahwin Tak Sah
Jika dinyatakan dalam majlis akad nikah syarat suami baru kena ceraikan isterinya itu bagi membenarkan wanita itu dapat berkahwin semula dengan bekas suaminya yang sudah menceraikannya dengan talak tiga.

2. Pendapat Berbeza
Jika syarat tersebut dinyatakan sebelum majlis akad, lalu ketika akad nikah itu suami baru berniat selepas berkahwin nanti dia akan ceraikan isterinya itu agar dia boleh kembali semula berkahwin dengan bekas suami pertamanya. Atau syarat tersebut tidak ditetapkan, tetapi suami baru dengan rela hati berniat begitu.

Pakar mazhab Maliki dan Hanbali menjelaskan, nikah tersebut tidak sah.

Menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie, nikah tersebut sah, kerana syarat itu tidak dinyatakan dalam majlis akad. Hujahnya ialah niat suami baru itu tidak menjejaskan sah akad nikah itu dengan syarat segala rukun dan syarat nikah dipenuhi.

3. Kahwin Sah
Jika isteri atau walinya berniat agar suami baru menceraikan si isteri supaya dia dapat kembali kepada bekas suami.

Hadis oleh Jabir dan Ali bin Abu Talib, Rasulullah s.a.w hanya melaknat suami baru dan suami lama yang berpakat. Malahan niat isteri atau wali itu tidak mempunyai apa-apa kesan, kerana hak cerai berada dalam tangan suami baru.

Kesimpulan

Amalan kahwin Cina Buta ini sebenarnya dilarang, diharamkan dan dikeji dalam Islam. Ianya amat bertentangan prinsip perkahwinan yang dituntut Syarak kerana menjadikan wanita umpama barang dagangan. Ia secara zahirnya menepati 5 rukun nikah, tetapi tujuan dan sifat perbuatannya penuh dengan kebatilan dan penipuan. Allah s.w.t melaknat para pelaku serta orang yang bersekongkol.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.